Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2019 di Kementerian Kewangan, Putrajaya.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


KERAJAAN Persekutuan hari ini bersetuju menghapus kira pinjaman projek Bekalan Air Luar Bandar Kerajaan Negeri bagi tahun 2001 dan ke atas membabitkan jumlah keseluruhan RM3.8 bilion, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Putrajaya.

Dr Mahathir berkata, hapus kira itu berdasarkan baki belum selesai pada 31 Disember 2018 tertakluk kepada kerajaan negeri memuktamadkan Skim Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Negara selewat-lewatnya pada 31 Disember 2019.

Beliau berkata, projek Bekalan Air Luar Bandar tidak lagi dibiayai dalam bentuk pinjaman mudah Kerajaan Persekutuan tetapi akan diperuntukkan secara geran di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Bekalan Air Luar Bandar adalah projek sosio-ekonomi dilaksanakan kerajaan bertujuan membekalkan air bersih kepada penduduk luar bandar.

“Projek ini tidak mendatangkan hasil yang tinggi berbanding projek bekalan air di kawasan bandar,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan hapus kira ini diharapkan dapat mempercepatkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air, mengurangkan beban kewangan tahunan negeri serta memastikan faedah berterusan dapat dinikmati oleh rakyat pada jangka masa panjang.

Dr Mahathir berkata, pada masa sama, syarikat operator air negeri boleh memfokuskan kepada penambahbaikan kualiti perkhidmatan bekalan air.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Majlis Kewangan Negara juga bersetuju Pemberian Cukai Pelancongan

menjadi satu pemberian baharu kepada kerajaan negeri mulai 2019 berdasarkan agihan 50 peratus hasil kutipan cukai pelancongan di negeri-negeri.

“Pemberian ini bagi membantu kerajaan negeri menyelenggara dan menyediakan kemudahan pelancongan, mempromosi dan memasarkan destinasi pelancongan dan menambah baik pelaporan statistik pelancongan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, majlis juga bersetuju meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membiayai kadar baharu Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) mulai 2019 bertujuan melindungi kawasan perlindungan hutan dan marin serta bagi membantu negeri yang berpendapatan rendah melaksanakan program atau projek bagi meningkatkan hasil negeri.

Gambar Ahmad Irham Mohd Noor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 8:14 PM