DAUN ketum yang ditemui dalam kereta yang ditahan. FOTO ihsan polis
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


POLIS menahan dua lelaki warga Thailand serta merampas 280 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM8,400 di hadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Kuala Nerang, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan jam 12.10 tengah malam selepas anggota ronda melihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota ronda kemudian mengarahkan pemandu dan penumpang keluar. Pemeriksaan lanjut menjumpai 28 plastik hitam di bonet dan tempat duduk belakang kereta.

“Semua plastik hitam itu mengandungi daun ketum dipercayai cuba diseludup ke negara jiran, kedua-dua lelaki berusia 40 dan 56 tahun berasal dari Kampung Satun, Thailand itu ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noh berkata, daun ketum serta Hyundai GETZ yang dinaiki turut dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk siasatan lanjut.

Katanya, kedua lelaki terbabit adalah penganggur dan mereka ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 6:17 PM