Zukri (depan tiga kiri) pada majlis Khatam al-Quran dan TH World #QuranHour di Menara Tabung Haji. FOTO Syarafiq Abd Samad
Nur Lela Zulkipli
nurlela@nstp.com.my


LEMBAGA Tabung Haji (TH) optimis mampu memberi pulangan hibah yang lebih baik tahun ini berbanding kadar 1.25 peratus tahun lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata, ia selaras dengan prestasi suku pertama pengurus dana haji itu yang memberangsangkan serta suku kedua yang dijangka lebih baik.

Katanya, pendapatan TH dijangka terus meningkat mulai suku kedua dengan penerbitan sukuk oleh syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang akan memberi pulangan hampir RM800 juta setahun yang dijangka diterbitkan sebelum akhir bulan ini.

“Ia (hibah 2019) akan lebih daripada 1.25 peratus, (namun) berapa jumlahnya terlalu awal, tetapi cukup untuk sekadar saya katakan ia akan lebih baik dari 1.25 peratus.

“Pada suku kedua nanti, ia dijangka mencatat prestasi lebih baik daripada suku pertama kerana kita akan menerima sukuk yang diterbitkan daripada SPV RM800 juta pada 31 Mei ini.

“Kita mengharapkan sukuk ini akan diterbitkan seperti dijangka dan buat masa ini kita rasa ia boleh dicapai sebelum berakhir bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Khatam al-Quran dan TH World #QuranHour yang disertai lebih 1,000 kakitangan TH dan anak syarikatnya di Kuala Lumpur hari ini.

TH merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM440 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019.

Ia turut merekodkan pendapatan berjumlah RM623 juta bagi tempoh dikaji dan jumlah asetnya juga melebihi jumlah liabiliti RM1.2 bilion.

Sementara itu, ditanya mengenai kesan keadaan ekonomi dunia yang semakin buruk susulan ketegangan perang perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS)-China kepada TH, Zukri berkata, ia sebenarnya bukan saja menjejaskan TH tetapi akan membabitkan semua pihak berkepentingan.

Katanya, TH akan membuat sedikit perubahan dari segi peruntukan aset seperti mana yang pernah disebut sebelum ini iaitu untuk mengurangkan pegangan ekuiti milik pengurus dana haji itu kepada 20 peratus.

“Pada 2017 dan 2018, TH banyak menumpukan kepada pelaburan ekuiti sehinggakan sampai kepada 50 peratus. “Justeru, pada tahun ini kita akan kurangkan pelaburan di dalam ekuiti dan akan beri penekanan kepada sektor lain.

“Jadi berdasarkan kepada peruntukan aset lain yang kita cadang dan rancangkan, kita yakin untuk memberi pulangan agak baik kepada TH walaupun ekonomi dunia agak mencabar sekarang,” katanya.

Menurutnya, memang TH merancang untuk mengurangkan pegangan ekuitinya kepada 20 peratus, namun belum dimuktamadkan sepenuhnya kerana pengurangan itu tidak boleh dibuat secara mendadak dan terburu-buru.

“Jika keadaan pasaran tidak baik, kita tidak akan menjual ekuiti dalam keadaan rugi.

“Kita akan melakukannya secara perlahan-lahan dan untuk jangka pertengahan kita mahu kurangkan kepada 20 peratus.

“Tidak bermaksud menjelang 31 Disember 2019 pegangan ekuiti kita akan terus berkurang kepada 20 peratus kerana jika saham yang kita pegang itu tidak menguntungkan, maka kita akan terus pegang sehingga pasaran kembali baik, sebelum menjualnya,” katanya menambah TH kini memiliki pegangan ekuiti kurang daripada 30 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 6:07 PM