Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan tiga suspek mencuri sebuah motosikal di sebuah pangsaouri di Setia Indah, Johor Bahru.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


POLIS meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tiga suspek yang terbabit dalam kejadian mencuri motosikal di sebuah pangsapuri di Setia Indah, Johor Bahru, semalam.

Ia susulan polis menerima laporan menyatakan sebuah motosikal jenis Yamaha XIR hitam dengan nombor pendaftaran FBE1669P didapati hilang dilarikan individu tidak bertanggungjawab.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Superintendan Mohd Afzanizam Yahaya berkata, motosikal itu diletakkan di kawasan parkir di bawah pangsapuri berkenaan.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), perbuatan itu dilakukan oleh tiga lelaki yang bangsanya tidak dapat dipastikan.

“Mereka bersama-sama melarikan motosikal berkenaan,” katanya mengulas mengenai kejadian berkenaan yang berjaya dirakamkan CCTV itu.

Beliau berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan suspek untuk membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS 07-2218999 atau Pegawai Penyiasat Sarjan Fayyad Wong di talian 017-7668796,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 5:46 PM