Dua kapal tangki tanpa muatan yang berlabuh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, Kota Tinggi, semalam. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) menahan dua kapal tangki tanpa muatan yang berlabuh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, Kota Tinggi, semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan, berkata sebuah kapal tangki yang berdaftar di Republik Dominica ditahan bot ronda Maritim Malaysia di kedudukan 3.2 batu nautika Timur Tanjung Penyusop kira-kira 3.50 petang.

Katanya, penahanan menerusi Op Khas Pagar itu dilakukan selepas hasil pemeriksaan mendapati kapal tangki terbabit gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dari Pengarah Laut.

“Manakala sebuah lagi kapal jenis Self Propelled Barge berdaftar di Singapura ditahan kira-kira 5.30 petang di kedudukan 2.6 batu nautika Timur Tanjung Penyusop.

“Penahanan dilakukan selepas didapati kapal itu gagal mengemukakan kebenaran bersauh dari Pengarah Laut dan kru tidak mencukupi seperti ‘Safe Manning Certificate’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, kapal pertama yang ditahan dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda berusia 32 hingga 46 tahun, manakala kapal kedua ditahan dikendalikan 12 kru termasuk nakhoda berusia antara 22 hingga 49 tahun.

Katanya, semua kru kedua-dua kapal adalah warga Indonesia, selain kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut.

“Sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Manakala bagi Seksyen 72(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu kru kapal tidak mencukupi boleh didenda sehingga RM100,000, selain dua kru setiap kapal terbabit dibawa ke pejabat ZMTS untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Maritim Malaysia katanya akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim terutama pada musim perayaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan negara khususnya perairan Johor Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 5:14 PM