FOTO Hiasan
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


SEORANG warga emas dikenakan hukuman denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas kesalahan menyediakan perkhidmatan pergigian swasta secara haram.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Kan Char Yin, 64, selaku Orang Kena Saman (OKS) yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Sekiranya gagal membayar denda, Kan berdepan hukuman penjara lapan bulan.

Berdasarkan pertuduhan, Kan didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Klinik Kan Tze Hin, di 478A, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 12 tengah hari, 13 November 2018.

Bagi perbuatan itu, OKS didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan denda hingga RM300,000 atau penjara hingga enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kan diwakili peguam Khairul Ariffin Ab Rahman dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Abu Bakar Ismail memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana perbuatannya membahayakan orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 4:52 PM