PENUNTUT Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai bergambar kenangan dengan Maszlee yang hadir meluangkan masa bersahur di perkarangan kampus universiti sempena Program Singgah Sahur bersama Kelab Media Johor (KMJ).
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


PENUNTUT Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini, bertuah apabila berpeluang beramah mesra dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang hadir meluangkan masa bersahur di perkarangan kampus universiti itu, awal pagi tadi.

Dalam lawatan sempena Program Singgah Sahur bersama Kelab Media Johor (KMJ), Maszlee berkesempatan menjamu kira-kira 200 penuntut dan kakitangan UTM dengan sajian ‘nasi ambeng’.

“Ini (UTM) adalah lokasi terakhir Singgah Sahur dianjurkan KMJ bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dan beberapa agensi lain.

“Ia adalah aktiviti kemasyarakatan yang kita lihat boleh merapatkan hubungan ukhuwah antara pihak terbabit dan pada masa sama dapat menunaikan ibadat pada Ramadan ini,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Yang turut hadir, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar dan Presiden KMJ, Mohd Fauzi Ishak.

Difahamkan, lawatan Maszlee ke universiti itu kali yang ketiga sejak menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan selepas Pilihan Raya Umum yang lalu.

Beliau berkata, ia satu program yang bagus dan mungkin tahun hadapan diperluaskan ke kelab media di negeri lain untuk menjalankan program sama yang diperluaskan di universiti-universiti.

“Universiti ini adalah yang pertama saya lawati sejak menjawat jawatan Menteri Pendidikan tetapi sebelum ini memang dah selalu (datang), saya pun orang Johor,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut meluangkan masa melawat dan mengedarkan sajian bersahur di tiga lokasi lain bermula di Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, kira-kira jam 1.30 pagi.

Dua lagi lokasi lain yang disinggahi Maszlee adalah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) dan Plaza Tol Skudai yang mana keseluruhan tiga lokasi itu, sebanyak 200 lagi bungkusan makanan diedarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 4:35 PM