Zukri (tiga dari kanan) membaca al-Quran ketika Majlis Khatam al-Quran dan TH World #Quran Hour di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur.
Nur Lela Zulkipli
Nurlela@nstp.com.my


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menyerahkan surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota tambahan jemaah Malaysia bagi musim haji tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Zukri Samat yang berkata, usaha itu bagi mendapatkan kuota tambahan sebanyak 10,000 bagi bakal jemaah haji Malaysia.

“Buat masa ini kita masih belum menerima sebarang jawapan dari kerajaan Arab Saudi, namun Tun Mahathir sudah pun menyerahkan surat rasmi kepada Arab Saudi berhubung perkara ini.

“Sekiranya kita gagal mendapatkan 10,000 kuota tambahan, 8,000 kuota pun sudah memadai supaya dapat memendekkan tempoh menunggu bakal jemaah yang lain,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Khatam al-Quran dan TH World #QuranHour di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, TH mungkin berdepan kesukaran untuk mendapatkan penerbangan dan tempat tinggal bagi jemaah haji sekiranya kerajaan Arab Saudi memberikan jawapan pada saat akhir.

“Bila kita dapat kuota tambahan, banyak perkara kita perlu sediakan seperti penginapan dan penerbangan jemaah.

“Jadi, lebih awal kita terima kuota, lebih baik pengurusan kita. Kos juga akan bertambah jika jawapan diberikan pada saat akhir.

“Kita berharap keputusan dicapai secepat mungkin kerana penerbangan jemaah haji yang pertama pada 4 Julai depan,” katanya.

Bagaimanapun, Zukri berkata, pihaknya tidak boleh menjangkakan berapa banyak kuota tambahan yang akan diberikan Arab Saudi berikutan banyak faktor yang diguna pakai kerajaan negara itu untuk menentukan perkara berkenaan.

“Beberapa tahun kebelakangan ini ada rayuan kita yang diluluskan dan sebaliknya.

“Jadi, untuk saya menyebut apakah peluang itu agak susah sebab tidak tahu apa kekangan yang dihadapi mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah pun mengedarkan surat tawaran kepada 30,200 jemaah yang terpilih mengerjakan ibadat itu tahun ini.

Pada 4 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dipetik berkata, kerajaan Arab Saudi tidak mempunyai tarikh tepat untuk memberikan jawapan berhubung kuota tambahan bagi jemaah pada musim haji tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 4:14 PM