Video tular yang menunjukkan dua wanita dicederakan.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


DUA wanita yang video mereka teruk dicederakan orang awam dalam satu video tular di laman sosial sejak kelmarin dipercayai bomoh atau tukang tilik.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kedua-dua wanita itu disyaki dipukul peniaga pasar Taman Megah Ria, Johor Bahru kerana didakwa menipu mereka.

Dalam video berdurasi tiga minit itu, dua wanita itu dilihat dalam keadaan tangan diikat dan dipukul beberapa individu menyebabkan mereka meraung kesakitan.

“Dua wanita ini warga China. Mereka buat kerja sampingan seperti bomoh atau pawang tolak bala.

“Sebelum ini, mereka pergi ke kawasan itu ambil pelanggan. Jadi, secara tak langsung pelanggan ini semua kena tipu.

“Pada hari kejadian, dua suspek ini datang semula ke kawasan itu dan terserempak dengan peniaga di situ. Mereka kenal, jadi mereka bertindak mencederakan dua suspek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Mohd Khalil bagaimanapun berkata, pihaknya tidak bertoleransi terhadap peniaga yang tidak membuat laporan polis berhubung penipuan yang didakwa sebaliknya bertindak sendiri mencederakan suspek.

“Peniaga itu atau sesiapa saja tidak boleh ambil tindakan sendiri, perlu buat laporan polis dan kita siasat, apa penipuan yang dilakukan dan kita akan ambil tindakan.

“Bila anda ambil tindakan sendiri begini, kita akan siasat anda juga dan perlu lihat benarkah penipuan yang didakwa, kita perlu siasat.

“Laporan polis pun tidak pernah buat, kemudian ambil tindakan sebegini, saya tidak boleh bertoleransi dalam benda seperti ini,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh manakala dua wanita warga China itu direman seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 4:10 PM