JAMBATAN angkat menghubungkan pusat bandar Kuala Terengganu dengan Seberang Takir akan dibuka kepada umum Ahad ini. FOTO Imran Makhzan.
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


POLIS menasihatkan orang ramai tidak meletakkan kenderaan mereka di atas jambatan angkat atau ‘draw bridge’ sebaik laluan menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kampung Seberang Takir itu dibuka kepada orang ramai, Ahad ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya kesesakan aliran trafik di kawasan berkenaan yang kini menjadi laluan utama khususnya penduduk Kampung Seberang Takir untuk ke Kuala Terengganu.

“Draw bridge atau jambatan angkat ini yang pertama di Malaysia dan pastinya ia menjadi tarikan baru sama ada daripada rakyat negeri ini atau pelancong tempatan mahupun luar untuk merakam gambar.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta mematuhi arahan pihak berkuasa agar tidak memberhentikan kenderaan mereka di atas jambatan untuk merakam gambar bagi mengelakkan berlaku kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan pek makanan sahur kepada anggota pada program Singgah Sahur di Dataran Batu Buruk di Kuala Terengganu, hari ini.

Program bagi menghargai anggota dan pegawai bertugas malam itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Allaudeen Abdul Majid; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos; Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din dan Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali.

Mengulas lanjut, Aidi berkata, bagi memastikan aliran trafik di laluan jambatan itu lancar, pihaknya akan melakukan rondaan secara berkala selain menempatkan anggota trafik di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin berada dan merakam gambar di kawasan jambatan boleh meletakkan kenderaan di kawasan dibenarkan dan berjalan kaki untuk naik jambatan berkenaan.

“Dalam keghairahan merakamkan gambar, orang ramai diminta menitikberatkan keselamatan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 4:05 PM