Mohd Khalil (tengah) beramah mesra bersama penerima sijil penghargaan sambil diperhatikan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din (empat dari kiri) ketika Majlis Perhimpunan Bulanan IPK Johor di Johor Bahru.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


SEBANYAK 147 operasi dilakukan Polis Johor membabitkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM18,016.54 menerusi Ops Pemutihan sempena Aidilfitri sejak 19 Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, operasi diadakan di seluruh negeri bagi membersihkan semua kawasan yang terbabit dengan kes ragut, dadah atau pecah rumah.

“Sempena Aidilfitri, kita ada melaksanakan operasi, namun tidak ada pengumuman secara rasmi sebelum ini tetapi sebenarnya kita ada buat Ops Pemutihan dan dilaksanakan di semua daerah bermula 19 Mei lalu.

“Sebanyak 147 operasi dijalankan dengan tujuan membersihkan kes ragut, dadah atau pecah rumah. Kita tengok elemen ini, syak orang yang terbabit dan kemudian ambil tindakan.

“Dadah sahaja, kita dapat kesan 275 orang dan dalam seminggu ini, kita rampas pelbagai dadah iaitu heroin seberat 268.54 gram, syabu (288.36 g), ganja (68.43g), ketamin (0.65 g), lapan pil Ekstasi dan 11 pil Eramin5.

“Nilai rampasan semua dadah ini hingga kelmarin sebanyak RM18,016.54,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, pihaknya turut menahan 20 orang yang mempunyai waran tangkap.

“Kita akan teruskan operasi ini di seluruh Johor hingga malam raya nanti. Tujuannya, untuk memastika supaya hari raya ini semua dalam keadaan baik.

“Tetapi ini usaha polis. Orang ramai juga perlu bertanggungjawab jika mahu pulang ke kampung bercuti, pastikan rumah, barangan, persekitaran semua selamat. Tidak boleh serah bulat-bulat semua pada polis.

“Kita cuba usaha pastikan sedaya upaya semua selamat tetapi orang awam perlu ada tanggungjawab sendiri juga. Kita juga mahu galakkan anda memberi maklum kepada polis bila pulang ke kampung.

“Ia secara tidak langsung membolehkan polis mengetahui mana kawasan yang tidak ramai orang, kita tahu untuk atur kekuatan kita bertugas di sesuatu kawasan berpandukan maklumat anda,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan orang ramai supaya memastikan mereka mendapat rehat yang cukup sebelum memandu kenderaan selain memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum pemanduan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 3:52 PM