Keadaan Proton Wira yang terbabit kemalangan dengan bas. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


LELAKI maut selepas Proton Wira dipandunya merempuh bas ekspres di Kilometer 333, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Kampung Gesing, Raub hari ini.

Kejadian 4.10 pagi itu menyebabkan Chan Tian Lai, 47, beralamat di Kampung Baru Jerkoh, Benta maut di tempat kejadian akibat parah di beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku ketika bas ekspres yang dipandu Mohd Anssari Che Soh, 38, dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur.

“Apabila tiba di tempat kejadian, Proton Wira dipandu mangsa dikatakan masuk ke laluan bas secara mengejut.

“Pemandu bas tidak sempat mengelak menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan anggota bomba.

“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat manakala pemandu bas tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu kedua bas ekspres bersama 13 penumpang juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kenderaan dibawa ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan dan pemandu bas ekspres itu akan dibawa menjalani ujian saringan awal air kencing.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 11:58 AM