KEADAAN rumah Anifah Othman yang berisiko jika berlaku runtuhan tanah dan hujan lebat. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


KEDIAMAN lima sekeluarga yang terletak di tebing paya di Kampung Ulu Tawar Tengah, Mukim Bakai, di Baling, dilihat sebagai tidak selamat dan perlukan perhatian segera pihak berwajib dan pemimpin setempat.

Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM), Tuan Asri Tuan Hussein berkata, kedudukan rumah mereka di tepi tebing dan berpaya mempunyai risiko jika berlaku runtuhan tanah dan hujan lebat.

Beliau berkata, selain itu penghuninya pula yang terdiri ibu tunggal dan mempunyai tiga anak Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada empat beradik turut memerlukan bantuan.

“Mereka tidak selamat tinggal di situ selain rumah rapat dengan tebing yang tinggi dan kedudukan jalan hampir dengan rumah serta berselekoh.

“Apa-apa boleh berlaku terutama pada waktu malam ketika kenderaan melalui kawasan itu, ” katanya ketika melawat rumah ibu tunggal, Anifah Othman, 52, sempena Program Titipan Kasih Harian Metro (HM) di Kampung Ulu Tawar Tengah, Mukim Bakai, di Baling, Sabtu lalu.


PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PLUS, Datuk Azman Ismail (dua, kanan) dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Mohd Asri Tuan Hussein (kanan), menyampaikan bantuan kepada penerima sempena Program Titipan Kasih Harian Metro di Kampung Ulu Tawar, Mukim Bakai, Baling. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Turut melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan adalah Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail.

Tuan Asri berkata, pihak berwajib perlu memberi perhatian kepada keluarga berkenaan demi masa depan mereka terutama anak mereka yang masih kecil.

“Saya juga difahamkan tiga anak keluarga ini yang juga OKU tidak lagi bersekolah.

“Ini adalah kerana masalah pengangkutan untuk ke sekolah yang jauh,” katanya.

Beliau berkata, penduduk kampung akan bergotong royong membersihkan kawasan sekitar rumah keluarga itu yang berpaya dan semak.

Selain itu kata beliau, dalam kejadian 11 malam kelmarin ibu tunggal berkenaan nyaris maut dibelit ular sawa selepas pulang daripada program TKHM.

“Mujurlah anaknya ada di rumah menyelamat ibu mereka daripada menjadi mangsa.

“Malah keprihatinan jiran juga dipuji kerana berjaya bertindak cepat dalam kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 11:43 AM