ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Bahagian Pusat Gerakan Operasi (PGO) berbuka puasa di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur.
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


HANYA minum dan menjamah sedikit makanan untuk berbuka puasa sebelum menyambung semula tugas, kemudian barulah menjamu selera secara bergilir-gilir bagi memastikan sentiasa ada petugas di tempat kerja.

Itu pengorbanan anggota di Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di setiap ibu pejabat negeri bagi memastikan setiap panggilan kecemasan dibalas dengan pantas dan berkesan.

Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, PGO bilik gerakan yang menerima maklumat atau panggilan kecemasan daripada sumber mengenai sesuatu kejadian sebelum petugas akan menyalurkan maklumat serta memberikan arahan yang sesuai kepada balai terbabit.

“Setiap masa, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Memang perlu sentiasa ada pegawai yang bertugas di PGO bagi memastikan setiap panggilan kecemasan dijawab dengan baik, seterusnya menyalurkan maklumat kepada balai.

“Bukan hanya pada waktu berbuka, waktu lain juga mereka yang sedang dalam waktu bertugas tidak dibenarkan untuk meninggalkan work station masing-masing, namun diberikan kelonggaran untuk makan atau ke tandas mengikut giliran,” katanya ketika ditemui di PGO JBPM Kuala Lumpur, di sini, baru-baru ini.


ANGGOTA PGO bomba berbuka ala kadar sebelum bergilir-gilir menjamu selera bagi pastikan setiap panggilan kecemasan cepat dijawab.

Beliau berkata, bertugas di PGO bukan satu tugas mudah kerana perlu pantas mengambil maklumat, mengumpul data dan daripada itu, perlu membuat keputusan mengenai balai dan jentera yang perlu keluar ke lokasi.

“Selepas menerima maklumat, petugas di PGO juga memberikan arahan menggunakan radio kepada komander operasi di lokasi mengenai sebarang keputusan membabitkan jenis jentera, bilangan jentera, balai yang terbabit dan sebagainya.

“Justeru, setiap pegawai yang bertugas di PGO perlu kekal di meja kerja atau work station masing-masing. Pada waktu berbuka puasa kebiasaannya petugas akan menjamah sedikit makanan dan menyambung semula kerja.

“Kemudian, mereka akan bergilir-gilir menjamu selera dengan juadah yang lebih berat dan berehat seketika,” katanya.

Sementara itu, Ketua PGO JBPM Kuala Lumpur, Muhamad Hafidz Yaacob berkata, waktu berbuka adalah waktu puncak yang mana pihaknya akan menerima banyak panggilan.

“Dalam setiap masa sekurang-kurangnya terdapat tiga pegawai yang akan bertugas dan mengikut giliran kerja atau syif. Setiap masa perlu ada pegawai yang bertugas di PGO.

“Sekitar jam 7 malam iaitu waktu bersiap untuk berbuka adalah waktu puncak yang mana kami menerima pelbagai panggilan kecemasan dan ia perlu dijawab,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 5:30 AM