WARGA asing yang diperiksa dalam operasi bersepadu yang dijalankan polis IPK Kuala Lumpur.
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


GENG Mat Afrika di ibu negara seolah-olah dapat menghidu pergerakan pihak berkuasa untuk menyerbu lubuk mereka selepas golongan terbabit mendapat perhatian susulan kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamaruddin.

Pemeriksaan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dalam Operasi Bersepadu bermula jam 11 malam, Jumaat lalu mendapati kebanyakan warga asing dari benua itu mempunyai dokumen perjalanan sah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam operasi dengan kekuatan 99 pegawai dan anggota itu, seramai sembilan warga asing dari benua Afrika ditahan selain tiga Bangladesh dan seorang warga Nepal.

“Operasi dijalankan di sekitar Jalan Changkat di Bukit Bintang, Kondominium Arena Green di Bukit Jalil, Jalan Sepadu Off Jalan Klang Lama, Taman OUG di Brickfields, Taman Len Seng dekat Cheras dan Metro Prima di Kepong.


KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

“Pemeriksaan dijalankan ke atas 28 warga asing. Seramai sembilan warga Afrika ditahan iaitu tujuh lelaki dan dua wanita. Tiga lelaki Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal turut ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, lokasi diberi tumpuan kawasan yang menjadi port’ warga asing dari benua Afrika itu, namun kebanyakan yang diperiksa mempunyai dokumen sah.

“Polis mendapat maklumat mengenai kawasan tumpuan kumpulan ini. Bagaimanapun, warga asing dari Afrika ini seolah-olah sudah mengetahui mereka kini sedang diburu menyebabkan sebahagiannya melarikan diri.

“Perkara ini mendapat perhatian seluruh negara dan dilaporkan di berita, Jadi, kemungkinan ada yang mengambil langkah berhati-hati terutama yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Walaupun tangkapan dalam operasi ini kurang memberangsangkan, polis Kuala Lumpur akan meneruskan operasi bagi membanteras permasalahan kebanjiran warga Afrika yang turut menyumbang ke arah kejadian jenayah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 21469999 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 5:01 AM