DOKUMEN dan barang dua mangsa lemas yang ditemui. FOTO Togi Marzuki.
Izlaily Nurul Ain Hussein dan Togi Marzuki
am@hmetro.com.my


“JAGA anak sebaik mungkin dan pastikan mereka solat serta ulang kaji pelajaran,” itu pesan terakhir Mohd Yusni Mohd Yusof, 43, kepada isterinya, Rasidah Omar, 32, sebelum ditemui lemas di Sungai Tampok Benut, Pontian, 9.50 pagi hari ini.

Turut ditemui mayat sepupunya, Mohd Khair Ismail, 38, kira-kira satu batu nautika barat daya Tanjung Laboh, Batu Pahat oleh kumpulan nelayan di Kuala Sungai Ayam, Batu Pahat pada 8.15 pagi.

Mayat Mohd Khair disahkan isterinya, Siti Raihana Ramzan, 36, di bilik mayat Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Mereka yang berasal dari Ayer Baloi, Pontian, dikatakan keluar menjaring ikan di perairan berkenaan dengan menggunakan sebuah bot gentian kaca milik bapa mentua Mohd Khair, Ramzan Mohd Ali, 64.

Mereka keluar ke laut pada 5.30 petang Khamis menuju ke Pulau Pisang untuk menjaring ikan.

Kelmarin, rakan mangsa menjumpai barangan seperti kad pengenalan, telefon dan rokok milik dua lelaki itu, tetapi mereka tidak dapat dikesan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dilancarkan membabitkan pihak polis, bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Rasidah berkata, dia reda dengan ketentuan Allah dan ia satu adalah ujian besar kepada dirinya sempena Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Saya nampak suami berubah menjadi seorang pendiam sejak tiga hari lalu, namun sentiasa senyum apabila berhadapan dengan ahli keluarga termasuk tiga anak berusia lima hingga 12 tahun.

“Lebih mengharukan sekembalinya daripada menangkap ikan, suami sepatutnya akan membelikan pakaian baru untuk saya dan anak,” katanya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Rasidah berkata, walaupun suaminya bekerja sebagai nelayan dan pendapatan tidak menentu, dia mengutamakan anak isteri untuk keperluan sempena Aidilfitri.

“Biasanya dia akan membeli pakaian untuk anak dan isteri sahaja, sebaliknya dia sendiri pakai baju lama.

“Lebih mengharukan, suami bersikap ringan tulang, tidak pernah duduk diam apabila tidak turun ke laut menangkap ikan atas faktor cuaca, sebaliknya membuat pelbagai kerja sampingan seperti bercucuk tanam dan ambil upah bersihkan kebun penduduk,” katanya.

Katanya, dia nampak kesungguhan arwah suaminya yang semakin kuat bekerja bagi menghadapi Aidilfitri tidak lama lagi.

“Alasan dia berbuat demikian untuk membahagiakan anak dan isterinya seperti dirasai orang lain,” katanya.

Sementara itu Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kedua-dua mayat dijumpai terapung di dua lokasi berasingan dekat Tanjung Laboh, Batu Pahat dan Sungai Tampok, Benut di Pontian, hari ini.

“Mayat pertama ditemui pasukan SAR Zon Maritim Batu Pahat kira-kira satu batu nautika barat daya Tanjung Laboh, Batu Pahat pada 8.15 pagi.

“Mayat kedua dijumpai di kira-kira satu batu nautika barat daya Sungai Tampok, Benut pada 9.50 pagi oleh nelayan tempatan yang turut serta dalam operasi pencarian,” katanya.

Beliau berkata, mayat pertama ditemui pada kedudukan kira-kira 23.5 batu nautika arah barat laut dari lokasi mangsa dipercayai hilang, manakala yang kedua kira-kira tujuh batu nautika arah barat laut dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

Menurutnya, mayat kedua-dua nelayan itu dibawa naik ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat dan Jeti Nelayan Ayer Baloi bagi menjalani proses pengecaman serta pengesahan oleh keluarga mangsa.

Semalam, Harian Metro melaporkan Mohd Khair dan Mohd Yusni hilang ketika sedang menjaring ikan di perairan Pulau Pisang.

Berita berkaitan

'Dua mayat dijumpai terapung'

'Hilang ketika menjaring ikan'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 9:18 PM