Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


MAJLIS Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengesan kegiatan amil tanpa tauliah yang aktif mengutip zakat secara tidak sah daripada orang ramai dan syarikat di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Datuk Mohd Noh Ibrahim berkata, amalan memungut zakat di luar kawasan yang ditetapkan kepada seseorang amil itu sehingga melangkaui negeri lain adalah bercanggah dengan hukum Islam.

“Ini kerana setiap negeri sudah mempunyai Majlis Agama Islam atau pihak berkuasa zakat yang diberi kuasa memungut dan mengagih zakat dalam negeri masing-masing.

“Setiap negeri juga mempunyai pegawai dan staf yang terlatih dalam menjalankan tanggungjawab terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, MAINJ menerima aduan daripada orang ramai yang mendakwa amil luar melantik ejen terdiri daripada kakitangan sumber manusia syarikat untuk mempromosikan bayaran zakat kepada mereka.

“Isu kehadiran amil luar bukan saja berlaku di negeri ini, tetapi turut membabitkan beberapa negeri lain.

“Difahamkan, ejen amil ini akan diberikan komisen hasil daripada kutipan zakat diperoleh daripada orang ramai dan syarikat,” katanya.

Katanya, setiap negeri mempunyai kadar pulangan semula zakat tertentu, namun ia perlu menepati syarat selain wang pulangan itu wajib disalurkan kepada golongan asnaf.

Katanya, umat Islam di negeri ini perlu memastikan pembayaran zakat dilakukan kepada amil yang dilantik MAINJ, jika tidak, ia menyalahi undang-undang.

Katanya, seramai 1,950 amil harta dan amil fitrah dilantik secara sah oleh MAINJ untuk mengutip zakat di seluruh Johor mengikut mukim.

“Bahagian Pungutan Zakat MAINJ juga membuka sebuah kaunter bergerak yang beroperasi di beberapa lokasi termasuk Menara Tabung Haji, Maybank Bandar Baru Uda (BBU), KDN Setia Tropika dan Mydin BBU.

“Kaunter meja juga dibuka secara berjadual di sekolah dan beberapa hospital swasta bagi memudahkan petugas hospital menunaikan tanggungjawab,” katanya kaunter bergerak dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

Sementara itu, Penasihat MAINJ, Datuk Dr Nooh Gadut berkata, apabila amil dari negeri lain memungut zakat di Johor dan hasilnya dibawa ke negeri mereka, secara tidak langsung ia akan menjejaskan kutipan zakat malah agihan kepada asnaf di Johor terjejas.

“Mereka yang mengambil zakat di Johor tanpa tauliah MAINJ dan masyarakat Islam yang membayar zakat kepada luar negeri adalah tidak boleh diterima oleh masyarakat Johor.

“Ia adalah budaya yang bercanggah dalam hukum, integriti, etika dan adab mulia,” katanya.

Beliau berkata, apabila ini berlaku, ia akan menjejaskan perancangan majlis terhadap agihan zakat kepada asnaf seperti pembangunan ekonomi, bantuan perubatan, sara hidup, pembinaan rumah asnaf dan pendidikan asnaf.

Beliau juga menegaskan tindakan terhadap amil tanpa tauliah boleh dilakukan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 8:27 PM