AMRAN memberi dodol kepada orang ramai yang melalui jalan ke Dataran Bandaraya Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed.
Nurul Amanina Suhaini
cnews@nstp.com.my


MAJLIS Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengagihkan kira-kira 4,000 bungkus dodol menerusi konsep ‘drive thru’ sempena Aidilfitri yang diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Johor Bahru, hari ini.

Datuk Bandar MBJB, Datuk Amran A Rahman berkata, program yang memasuki tahun kedua berturut-turut itu bertujuan menghidupkan amalan tradisi bergotong-royong mengacau dodol dalam kalangan kakitangannya.

Katanya, seramai 90 kakitangan MBJB terbabit dengan aktiviti penyediaan dodol bermula semalam, sebelum ia diagihkan kepada orang ramai mulai hari ini.

“Program edaran dodol ini adalah satu daripada program kebajikan kepada warga bandar raya yang dilaksanakan MBJB bagi sepanjang tahun.

“Juadah tradisi dodol yang disediakan adalah sebagai hadiah kepada orang ramai sempena Aidilfitri yang bakal tiba.

“Setiap kakitangan terbabit dalam aktiviti penyediaan peralatan dan persiapan pembuatan dodol, selain proses mengacau dodol yang mengambil masa kira-kira lapan jam sebelum proses pembungkusan dodol untuk diagihkan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Amran berkata, MBJB memperuntukkan sebanyak RM22,000 bagi penganjuran program termasuk kos sewaan peralatan, pembelian bahan ramuan dan bahan pembungkusan menerusi sembilan kawah dodol yang disediakan.

Katanya, pihaknya berharap inisiatif itu dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama berpasukan kakitangan MBJB dalam menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 5:46 PM