VIVY Yusof. FOTO Ihsan UiTM
Nur Lela Zulkipli
nurlela@nstp.com.my


USAHAWAN e-dagang dan pemilik Fashion Valet Datin Vivy Yusof, dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Lantikan itu dikongsikan melalui Facebook rasmi UiTM dan turut dimaklumkan melalui Instagram milik Vivy.

Ucapan tahniah itu diterima daripada Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah, Naib Canselor serta pengurusan UiTM.

Rata-rata netizen turut mengucapkan tahniah dan terkejut dengan pelantikan tokoh usahawan itu dalam bidang pendidikan negara.

“Saya berharap Vivvy akan buat perubahan khusus dalam tudung rasmi UiTM yang sudah lama tidak diubah,” kata pemilik akaun Noor Shaminy Ilaiz.

Noriana pula berkata, pelantikan itu adalah sebagai batu loncatan bagi Vivy selain bergelar usahawan.

Bagaimanapun, tidak kurang juga netizen yang mempersoalkan lantikan berkenaan kerana beranggapan lebih ramai ahli akademik yang lebih layak memegang jawatan berkenaan.

Pemegang akaun, Firzz Radzi berkata, “tahniah tapi kenapa? Mungkin ada sebab dilantik namun sekurang-kurangnya bagi sebab kenapa.”

Sementara, Faikah Ismail berkata, “sejujurnya rasanya ramai lagi ahli akademik yang layak diluar sana, sedihnya.”

Vivy berjaya menempa nama di persada antarabangsa selepas bergelar pengasas FashionValet yang memasarkan lebih daripada 150 jenama tempatan di bawah satu bumbung.

Selain itu, beliau juga adalah pemilik dan pengasas kepada perniagaan dUCk yang merangkumi pelbagai barang wanita merangkumi tudung, alat solek dan alat tulis.

Sementara itu, Vivy melalui catatan di Instagramnya turut berkongsi berita berkenaan.

Vivy berkata, beliau akan menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Saya sangat menghormati Pengerusi dan Ahli Lembaga yang lain atas usaha (terhadap UiTM) yang mereka lakukan.

“Walaupun saya tidak mempunyai pengalaman yang sama namun saya harap saya dapat menyumbang idea segar dan membawa pembaharuan kepada UiTM dan bermanfaat dalam industri pendidikan,” katanya.

Dalam dunia keusahawanan, Vivy memenangi banyak anugerah antaranya Bella Business Award 2013, Women’s Weekly Malaysia’s Finance and Commerce Nominee untuk anugerah Great Women of Time Awards 2015, 60 Wanita Inspirasi Nona, Young Entrepreneur Award daripada Tribute To Women Malaysia dan banyak lagi.

Pada April 2017, Vivy disenaraikan sebagai salah satu daripada Forbes 30 Under 30 di Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 5:09 PM