NUR HIDAYAH bersama tiga orang adiknya dan bapanya pada majlis berkenaan. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim
am@metro.com.my


“IBU antara insan paling sibuk melayan kami empat beradik tapi kini semuanya tinggal kenangan,” kata Nur Hidayah Hibriyah Mohd Adha, 11, yang kehilangan ibunya Nor Supinah Suratman akibat kanser paru-paru pada 23 Februari lalu.

Aidilfitri tahun ini ibarat tanpa seri bagi Nur Hidayah dan adik-beradiknya selepas hilang ibu tersayang pergi menghadap Ilahi.

Nur Hidayah berkata, kebiasaannya setiap kali Ramadan dan Hari Raya, ibunya adalah orang yang paling sibuk melayan mereka berempat termasuk menyediakan baju untuk digunakan pada hari pertama ketibaan Syawal.

Menurut Nur Hidayah, dia dan adik-adiknya, Nur Hidayah Hilmiyah, 7, Mohamad Hidayat Hifzan, 5, dan Nur Hidayah Hirtiyah, 2, yang kini tinggal bersama neneknya Rosnani Siman,51, di Taman Putri di Pekan Layang-Layang amat merindui semua kenangan itu.

“Apatah lagi ibu baharu sahaja pergi meninggalkan kami tiga bulan yang lalu dan menyebabkan kehilangannya masih dirasai kami adik beradik,” katanya.

Nur Hidayah berkata demikian selepas menerima sumbangan hamper dan duit raya yang disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Mahmud Kassim melalui Majlis Ihya Ramadan anjuran Srikandi PKR Negeri Johor di Masjid Besar Layang-Layang dekat Simpang Renggam, semalam.

Hadir sama, Ketua Penerangan Srikandi Malaysia, Siri Hajar Mardhiah; Ketua Sriikandi PKR Negeri Johor, Nur Khurul Ain Abd Samat dan Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri Johor, Tan Poh Kai.

Katanya, walaupun ayah mereka Mohd Adha Kiman, 34, masih ada, namun keghairahan untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri bagaikan sudah tiada.

“Selalunya ibu yang menguruskan segala-galanya dan menjadi orang paling sibuk apabila menjelang hari-hari terakhir Ramadan.

“Walaupun hanya tinggal 10 hari sahaja untuk umat Islam menjalankan ibadah puasa dan seterusnya menyambut ketibaan Syawal, namun kami hanya membuat persiapan ala kadar dan semua itu dilakukan oleh nenek.

“Kami empat beradik juga amat bersyukur kerana masih ada tempat menumpang kasih walaupun ia tidak seperti yang diberikan oleh ibu, namun ia sedikit sebanyak mengurangkan kerinduan kami,” katanya.

Menurut Nur Hidayah, untuk menghilangkan rasa rindu, mereka akan menziarahi kubur arwah ibu mereka setiap kali ada masa terluang walaupun adik Mohamad Hidayat dan Hirtiyah masih tidak mengerti apa-apa mengenai apa yang berlaku.

Sementara itu, Ketua Sriikandi Negeri Johor, Nur Khurul Ain Abd Samat betkata, seramai 20 orang anak-anak yatim yang tinggal bersama keluarga masing-masing di Pekan Layang-Layang diberikan sumbangan hamper dan duit raya.

Katanya, pihaknya turut memberikan sumbangan berupa beras kepada 150 keluarga asnaf di Pekan Layang-Layang dan Renggam selain mengedarkan kira-kira 1,000 bungkus bubur lambuk kepada orang ramai.

tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 4:12 PM