GAMBAR hiasan
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


TINDAKAN lelaki mengugut dengan menggunakan pedang samurai dan kayu golf membawa padah apabila ditahan polis di Kampung Batu 3, Kuala Penyu, dekat Beaufort, kelmarin.

Sebelum itu, dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari Rabu lalu, pengadu lelaki berusia 22 tahun menerima panggilan daripada sepupunya bahawa seorang lelaki datang ke rumah dengan membawa kayu golf dan pedang samurai.

Difahamkan, suspek berusia 34 tahun mengatakan kepada sepupu pengadu bahawa dia akan tunjukkan jalan ke ‘syurga’ kepada pengadu.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat pada 5.20 petang, hari sama.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata, hasil siasatan awal mendapati ia berlaku di hadapan rumah pengadu.

“Suspek datang ke rumah pengadu dengan membawa kayu golf dan pedang samurai untuk mencari pengadu selain turut mengugut dengan perkataan ‘aku akan menunjukkan jalan ke syurga kepada Alvin’.

“Kejadian itu disaksikan oleh sepupu pengadu yang juga pemilik rumah berkenaan dan ketika kejadian pengadu tiada di rumah,” katanya.

Azmir berkata, sebaik menerima laporan, satu tangkapan dibuat di rumah suspek.

“Suspek sempat melarikan diri namun ditahan 1 pagi kelmarin selepas kawasan rumahnya dikepung.

“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 8 (1)(e) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 9:06 AM