YANG di-Pertuan Agong menyiram air mawar ke atas makam ayahanda baginda ketika hadir membaca ayat suci al-Quran di Makam Diraja Pekan, semalam.
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, semalam, beriltizam akan meneruskan legasi dan sifat perikemanusiaan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Ia suatu yang sukar beberapa hari ini buat kami sebagai sebuah keluarga. Tetapi, kami tidak mungkin dapat melalui semua ini tanpa cinta, sokongan dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh keluarga, rakan, rakyat Pahang dan semua rakyat Malaysia.

“Untuk ini dan yang lain lagi, kami berterima kasih dengan setulus hati kepada anda,” titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran akaun Instagram Istana Negara semalam.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, rakyat Malaysia kehilangan seorang manusia yang luar biasa, namun yang lebih penting, mereka kehilangan ayahanda yang tersayang dan rakyat kehilangan seorang Sultan yang benar-benar luar biasa.

“Malah, kami berterima kasih kepada Allah kerana mengurniakan kami seorang pemimpin dengan sifat yang merendah diri yang kita semua terdorong dengan kasih sayang dan rahmatnya kepada rakyat Pahang dan Malaysia. Ayahanda kami kekal dalam sanubari kami buat selama-lamanya, Al-Fatihah,” demikian titah kedua-dua Baginda.

Pada 22 Mei, Sultan Ahmad Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur jam 8.50 pagi.

Sultan Ahmad Shah, 88, adalah Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 6:20 AM