LAPORAN portal Harian Metro mengenai nahas jalan raya yang mengorbankan empat nyawa di Kilometer 31, Jalan Kuala Terengganu-Setiu berhampiran Kampung Pakoh Jaya, Kuala Nerus.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


“MAAFKAN saya... saya tak berdaya selamatkan pak cik,” kata Che Ku Mohd Zuhaidam Che Ku Mohd Norzaki, 22, sebaik Anuar Said, 59, menghembuskan nafas di sisinya, pagi hari ini.

Anuar dan isterinya, Che Khasliza Che Hussin, 53, meninggal dunia selepas kereta Peugeot dinaiki mereka terbabit dalam nahas jalan raya membabitkan kereta Proton Wira Aeroback di Kilometer 31, Jalan Kuala Terengganu-Setiu berhampiran Kampung Pakoh Jaya, Kuala Nerus.

Anak pasangan itu, Nurul Nadirah, 13, yang cedera di muka dan kaki dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Dua lagi yang terkorban ialah pasangan suami isteri yang menaiki Proton Wira Aeroback, Hafiiz Mohd Ibrahim, 29 dan Siti Nur Shahila Asla, 26.

Che Ku Mohd Zuhaidam berkata, sebelum kejadian, dia bersama tiga rakannya dalam perjalanan dari Kota Bharu ke rumahnya di Kampung Raja Tepoh di Kuala Terengganu.

“Sebaik ternampak kereta itu yang baru kemalangan kira-kira 9 pagi, saya bersama rakan bergegas memberi bantuan.

“Ketika itu ada dua orang kampung menjaga lalu-lintas dan sebaik pergi ke kereta pertama (Proton Wira Aeroback) saya dapati kedua-dua mangsa sudah pun meninggal dunia,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.


CHE Ku Mohd Zuhaidam. FOTO Rosli Ilham

Menurutnya, dia kemudian pergi ke kereta Peugeot yang dinaiki tiga beranak itu dan pemandunya (Anuar) meminta tolong supaya mengeluarkan dirinya.

“Isterinya ketika itu sudah meninggal dunia, manakala anaknya di belakang tersepit. Saya tidak berjaya mengeluarkan dia dan saya meminta anaknya itu bersabar.

“Anuar merayu supaya dia dan anaknya segera dikeluarkan kerana risau keretanya itu akan terbakar,” katanya.

Menurutnya, seorang rakannya segera menghubungi ambulans meminta bantuan, manakala dia dan dua lagi rakan selain seorang penduduk berusaha mengeluarkan Anuar yang tersepit.

“Tidak lama kemudian kami berjaya keluarkan Anuar dan berada di sisinya dan. Dia (Anuar) mengadu sakit di bahagian dada dan meminta saya supaya segera memanggil ambulans.

“Sepanjang menemani arwah, dia tidak lepas memeluk erat peha saya dan mengadu sangat sakit di bahagian dada serta beberapa kali bertanya sama ada ambulans sudah dipanggil atau belum,” katanya.

Katanya, dia tidak putus-putus mengurut dada mangsa sambil memintanya bersabar namun kira-kira setengah jam kemudian, dia terasa tangan mangsa pelahan-lahan melepaskan pegangan di pehanya.

“Saya beberapa kali cuba mengejutkannya tetapi kemudian mendapati dia sudah meninggal dunia sebelum ambulans tiba setengah jam kemudian.

“Saya sangat sedih ketika arwah menahan kesakitan saya tidak berupaya melakukan apa-apa dan apa yang sangat saya terharu, arwah sempat mengucapkan terima kasih kepada saya sebelum meninggal dunia,” katanya.

Berita berkaitan

4 maut, 1 cedera

[UPDATE] Wanita hamil 5 bulan antara yang maut

Beli baju raya untuk keluarga sebelum ajal

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 9:15 PM