Muhaamad Hafis Nawawi dan Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


PENGANJURAN Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menjadi sejarah dan kenangan terindah buat penduduk Kampung Ulu Tawar di Baling.

Malah, jelas terpapar wajah gembira dalam kalangan 200 anak yatim dan golongan asnaf apabila buat julung kalinya tahun ini mereka menerima sepersalinan baju raya bernilai RM250 dan juga duit raya.

Tidak dilupakan juga 20 ibu tunggal dan 30 keluarga miskin turut menerima sumbangan yang pasti menceriakan mereka menyambut Aidilfitri tahun ini.

Pengarang Harian Metro (HM), Tuan Asri Tuan Hussein berkata, program TKHM sudah 12 tahun diadakan untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan.

Beliau berkata, setiap tahun HM memilih kawasan yang dikenal pasti bagi membantu golongan miskin, ibu tunggal dan anak yatim.

“Pada tahun ini dua daerah terpilih untuk program berkenaan iaitu di Kampung Balun, Slim River Perak dan Kampung Ulu Tawar, Mukim Bakai di Kedah.

“Dua minggu lepas kita meraikan penduduk di Perak dan hari ini di Baling, Kedah.

“Program TKHM lebih kepada program tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya ketika berucap pada majlis itu di Masjid Al Hidayah di Baling, hari ini.


AZMAN (kiri) dan Tuan Asri (kanan), menyampaikan bantuan kepada penerima sumbangan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, sudah menjadi tanggungjawab sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk menghulurkan tangan kepada mereka yang memerlukan.

Menurutnya, PLUS cuba melaksanakan tanggungjawab ini dengan memberikan keselesaan dan kemudahan menerusi infrastruktur dan perkhidmatan lebuh raya.

“Seperti mana kebanyakan daripada kita, dengan membantu mereka yang berada di sekeliling, kita juga belajar sesuatu tanpa kita sedari.

“PLUS akan terus komited menjayakan lebih banyak program seperti ini pada masa akan datang bagi memberi manfaat kepada komuniti yang tinggal di jajaran lebuh raya,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Azman berkata, pihaknya berharap inisiatif ini dapat menimbulkan keikhlasan dan kesyukuran kerana satu perbuatan yang baik dengan menjadikan perjalanan ini lebih bermakna.


AZMAN (tengah) dan Tuan Asri bergambar bersama penerima sumbangan baju raya sempena Program Titipan Kasih Harian Metro. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 8:53 PM
AZMAN (tengah) dan Tuan Asri bergambar bersama penerima sumbangan Aidilfitri sempena Program Titipan Kasih Harian Metro. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali