ANGGOTA bomba menyelamatkan kanak-kanak yang terperangkap dalam mesin basuh jenis automatik di kedai dobi layan diri. FOTO Ihsan Bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


KANAK-KANAK perempuan terperangkap dalam mesin basuh automatik di kedai dobi layan diri dekat susur Larkin Perdana 2, Taman Larkin Perdana di Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu dikatakan bermain bersama rakannya di premis berkenaan sebelum masuk sendiri ke dalam mesin basuh itu.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd Kamil Zulkifli bersama lapan anggota dan jentera serta van EMRS bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 4.38 petang.

Mohd Kamil berkata, sebelum kejadian, mangsa dipercayai masuk ke dalam mesin basuh itu dan ditutup oleh rakan yang lain.

“Perkara itu disedari orang dewasa yang lain apabila hendak menggunakan mesin basuh di kedai itu. Bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat dengan memotong kunci pada penutup mesin basuh berkenaan.

“Kita mengambil masa kira-kira tiga minit untuk mengeluarkan mangsa. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada maklumat mangsa yang dapat diperoleh kerana dia masih trauma dan terus berlari balik ke rumah,” katanya.

Menurutnya, operasi kemudian ditamatkan pada jam 4.55 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 6:44 PM