Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


Bukit Mertajam: Tiga penjenayah termasuk pelajar 15 tahun yang aktif memecah masuk kilang di sekitar Bukit Mertajam untuk mencuri barangan lusuh diberkas polis Khamis lalu.

Dalam kejadian 11 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Machang Bubok terserempak dengan sebuah lori dinaiki tiga lelaki di hadapan sebuah kilang di Jalan Besar Machang Bubok.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek dilihat mencurigakan sebelum pemeriksaan di dalam lori menemui kepingan zink dipercayai dicuri di kilang berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, ketiga-tiga suspek berusia antara 15 hingga 47 tahun berkenaan mengaku aktif mencuri barang lusuh untuk dijual sejak beberapa bulan lalu.

“Semua suspek termasuk remaja berusia 15 tahun berkenaan mempunyai rekod lampau jenayah.

“Mereka direman bagi tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 5:13 PM