SULTAN Ibrahim (tengah) berkenan bergambar bersama pemandu teksi selepas menyampaikan sumbangan sempena Aidilfitri. FOTO ihsan Royal Press Office
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


SEPERTI tahun lalu, pemandu teksi dari kawasan Stulang Laut menerima hadiah daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.

Menerusi entri terbaharu di laman Facebook (FB) rasmi Sultan Ibrahim, 30 pemandu teksi dipanggil ke Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru, hari ini, bagi menerima kain dan sumbangan duit raya setiap seorang.

Mereka menerima sendiri hadiah berkenaan daripada Sultan Ibrahim.

Tahun lalu, 20 pemandu teksi dari kawasan Stulang Laut menerima sumbangan daripada baginda sempena Aidilfitri.

Sultan Johor berkenan memberi hadiah berkenaan kerana setiap kali baginda melalui kawasan Stulang Laut, pemandu teksi di kawasan itu tidak pernah ketinggalan melambai tangan kepadanya.

Baginda amat dekat di hati rakyat dan sering mengenepikan protokol dan boleh beramah mesra bersama rakyat.

Pix FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 5:03 PM