Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


KERAJAAN menggalakkan konsep sumbangan elektronik (e-derma) sebagai platform untuk membantu golongan kurang bernasib baik bukan saja di Malaysia malah luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, platform terbaru ini memudahkan orang ramai untuk terus menyalurkan sumbangan dengan kaedah yang lebih mudah menggunakan kecanggihan teknologi pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Menurutnya, inisiatif yang dilaksanakan Kumpulan Axiata Berhad menerusi aplikasi Boost memudahkan

sumbangan disalurkan kepada 32 badan bukan kerajaan (NGO) dan 81 institusi agama sejak dilancarkan setahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat berkata, semua pihak perlu memainkan peranan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat khususnya kepada NGO dan institusi keagamaan agar dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

“Aplikasi Boost ini memudahkan orang ramai menyalurkan bantuan kerana sejak dilancarkan sejumlah RM317,000 sudah disalurkan orang ramai menggunakan platform ini selain dapat melahirkan masyarakat yang memiliki sikap tanggungjawab sosial.

“Landskap Malaysia kini yang menuju ke arah inovasi ekonomi menyebabkan teknologi memainkan peranan signifikan bukan saja dalam kehidupan seharian malahan boleh membantu menambah baik kebajikan sosial dalam kalangan komuniti dan negara.

“Saya juga berharap bukan orang ramai malah syarikat korporat termasuk pemain industri kecil dan sederhana dapat menggunakan platform ini untuk menyalurkan sumbangan,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran E-derma menerusi aplkasi Boost di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan

Sri Jamaludin Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.

Sementara itu, Jamaludin dalam ucapannya berkata, pihaknya yakin dengan peningkatan pengguna teknologi di negara ini, konsep e-derma yang diperkenalkan mampu memperkasakan masyarakat memiliki tanggungjawab sosial yang tinggi untuk membantu komuniti dan negara.

“Aplikasi Boost adalah perkhidmatan e-dompet terbesar di negara ini dengan 4.1 juta pengguna dan kami percaya menerusi perkhidmatan terbaru ini mampu memberi impak yang lebih baik kepada golongan yang memerlukan bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 4:33 PM
DR Wan Azizah (tengah) bersama (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital Servis, Mohd Khairil Abdullah serta Jamaludin, Che Asmah dan Ghazzali menunjuk aplikasi E-Dompet Boost selepas majlis pelancaran. FOTO Nurul Shafina Jemenon