ANWAR menyampaikan barangan makanan kepada asnaf sambil di perhatikan Mas Imran di Masjid Bandar Sunggala. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


SERAMAI 100 asnaf dan ibu tunggal di Port Dickson menerima sumbangan barangan makanan oleh Pasaraya Econsave.

Pegawai Operasi Econsave, Mas Imran Adam berkata, sumbangan sempena Ramadan itu adalah antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan sasaran.

“Pasaraya Econsave sentiasa mengadakan program sebegini dalam membantu meringankan beban individu yang kurang bernasib baik dan kali ini sumbangan bertujuan membantu meringankan beban mereka menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Sumbangan akan diteruskan dari semasa ke semasa dan tidak hanya tertumpu ketika musim perayaan. Kami sebagai syarikat yang menjual barangan keperluan harian akan terus membantu atas rasa tanggungjawab,” katanya.

Penyampaian sumbangan itu disempurnakan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Kariah Kampung Sawah Sunggala, semalam.

Mas Imran berkata, barangan berbentuk makanan termasuk beras, minyak masak, gula, tepung dan gandum itu diharap dapat meringankan beban penerima dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Katanya, Pasaraya Econsave mempunyai cara tersendiri bagi menyampaikan sumbangan, selain turut merujuk akhbar dan laman sosial bagi membantu mangsa yang memerlukan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 4:25 PM