PENGURUS Koperasi Seloka Maya Baling, Mohamad Zuki Awang (kiri) berbual dengan empat anak OKU di Kampung Ulu Tawar, Mukim Bakai. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


WALAUPUN empat beradik ini orang kurang upaya (OKU) lembam, namun mereka terpaksa menguruskan diri sendiri ketika ibu mereka keluar mencari rezeki.

Anak sulung, Mohd Rasul Abdullah, 16, berkata, dia akan menjaga tiga adiknya iaitu Mohd Aziz ,15, Siti Rusila, 14, dan Siti Nor Baayah, 9, ketika ibunya, Anifah Othman, 52, keluar bekerja sebagai tukang cuci di kilang di Perai, Pulau Pinang.

Menurutnya, adiknya Mohd Aziz mengalami kesukaran untuk makan dan bertutur dengan jelas kerana lidahnya terkeluar sejak dilahirkan.

“Sepanjang emak keluar bekerja, saya akan menjaga adik di rumah sehingga ibu pulang.

“Walaupun kami masih kecil, tetapi saya kena memikul tanggung jawab untuk menjaga keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah Ulu Tawar, Mukim Bakai, di Baling, hari ini.

Turut melawat, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail, Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM), Tuan Asri Tuan Hussein dan Pengarang Eksekutif Komersial HM, Husain Jahit yang menyerahkan barangan keperluan dapur.

Mohd Rasul berkata, bapanya, Abdullah Md Jin meninggal dunia tujuh bulan lalu dan sejak itu mereka bergantung hidup dengan ibu yang keluar mencari rezeki setiap hari.

“Masa ada ayah dulu, tidaklah beban sangat tanggung jawab emak... kini dialah yang bertungkus lumus mencari rezeki sebagai tukang cuci di kilang.

“Dulu masa arwah ayah ada, dia bekerja sebagai pemandu teksi dan menjaga kami semua,” katanya.

Mohd Rasul berkata, sambutan Aidilfitri kali ini tidak bermakna lagi tanpa bapa dan disambut sederhana.

“Apa pun keperluan menyambut hari raya tidak beli lagi tetapi kami bersyukur masih ada emak tempat kami menumpang kasih sayang,” katanya.

Katanya, dulu mereka adalah pelatih Pusat Dalam Komuditi (PDK) Seri Bakai tetapi tidak lagi ke pusat itu akibat masalah pengangkutan kerana jarak rumah mereka dengan PDK Seri Bakai kira-kira 17 kilometer (km) menyebabkan kesukaran untuk hadir setiap hari ke PDK.

Mohd Rasul berkata, dia adalah atlet yang menyumbang pingat perak dalam sukan olahraga balapan peringkat kebangsaan mewakili peringkat PDK.

“Adiknya Mohd Aziz juga mendapat pingat perak dalam olahraga, manakala Siti Rusila memperoleh pingat emas dalam olahraga 4x100 meter peringkat negeri Kedah.

“Malah Siti Rusila juga mewakili PDK Kedah dalam tarian ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 4:21 PM