PEGAWAI Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, merampas pelbagai kasut, selipar dan seluar tiruan bernilai hampir RM50,000 dalam Ops Barang Tiruan yang dilakukan di Bazar Aidilfitri Klebang. FOTO Ihsan KPDNHEP
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri merampas pelbagai kasut, selipar dan seluar tiruan bernilai hampir RM50,000 dalam Ops Barang Tiruan yang dilakukan di Bazar Aidilfitri Klebang, Melaka, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri Muhammad Aizudin Mohd Said berkata, dalam operasi bermula 5 petang itu, KPDNHEP dengan kekuatan empat pasukan penguatkuasa dari seksyen Penguatkuasa yang terdiri daripada 16 pegawai dan anggota, menyerbu tiga premis perniagaan yang disyaki menjual barangan tiruan di bazar terbabit.

“Pemeriksaan ke atas ketiga-tiga premis ini menemukan barangan tiruan jenama Nike, Adidas, Puma serta Levi’s tiruan. Kita merampas 1,217 barangan tiruan daripada ketiga-tiga premis ini membabitkan nilai keseluruhan sitaan RM49,890,” katanya.

Muhammad Aizudin berkata, premis pertama yang diperiksa menemukan 217 kasut dan 289 selipar jenama Nike, Adidas dan Puma tiruan bernilai RM16,620.

Manakala di premis kedua, menemukan 224 kasut dan 57 selipar jenama Nike, Adidas dan Puma tiruan bernilai RM11,770.

Katanya, di premis ketiga 430 seluar Levi’s tiruan yang dianggar bernilai RM21,500, dirampas dalam operasi terbabit.

“Semua kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 yang jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu, manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, boleh didenda hingga RM30,000 bagi setiap barangan.

Menurutnya, jika pelakunya individu persendirian, boleh didenda hingga RM10,000 dan penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala denda hingga RM20,000 dan penjara hingga tiga tahun bagi kesalahan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 2:49 PM