ELSA. FOTO Ihsan Sunway Theme Parks
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


KEHADIRAN anak harimau putih betina di Zoo Melaka & Night Safari, dijangka dapat menarik lebih ramai pengunjung ke lokasi tarikan pelancong di Ayer Keroh itu.

Anak harimau putih itu diperoleh menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Zoo Melaka & Night Safari dengan Sunway Theme Park.

Melalui MoU itu, tiga lagi haiwan terbabit dalam program pertukaran antara kedua-dua pihak.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Mohd Rafee Ibrahim berkata, menerusi MoU berkenaan, pihak Sunway Theme Park bersetuju meminjamkan anak harimau putih berusia dua tahun yang digelar Elsa dari Sunway Lagoon Wildlife Park (SLWP).

Beliau berkata, sebagai pertukaran, Zoo Melaka akan meminjamkan seekor Zirafah betina berusia 10 tahun bernama Mercy ke Petting Zoo Lost World of Tambun, Perak, bagi pembiakan serta seekor ungka tangan putih dan Brown Capuchine ke SLWP.


YANG Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mohd Rafee Ibrahim (dua dari kiri) menukar perjanjian persefahaman bersama Pengurus Besar Kanan Sunway Theme Parks, Calvin Ho (dua dari kanan) pada Majlis Menandatangani MOU Zoo Melaka & Sunway Theme Parks di Hotel Muzafar, Ayer Keroh. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber

“Dijangka pada pertengahan Jun, Elsa akan tiba di sini, bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan haiwan terbabit ketika proses pemindahan.

“Diharap dengan kerjasama ini, dapat mengembalikan kegemilangan Zoo Melaka seperti dahulu serta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU bersama Pengurus Besar Sunway Theme Park, Calvin Ho, di Ayer Keroh, kelmarin.

Mengulas lanjut, Mohd Rafee berkata, pihaknya ketika ini, menjalin kerjasama bersama dua lagi zoo iaitu Zoo Kemaman, Terengganu serta Zoo Johor bagi peminjaman buaya dan singa.

Sementara itu, Calvin berkata, proses pemindahan haiwan seperti zirafah dan harimau biasanya mencecah puluhan ribu ringgit bergantung kepada keadaan haiwan terbabit termasuk kos logistik.

“Semua haiwan itu akan ditempatkan dalam suatu tempoh tertentu tetapi belum dimuktamadkan jangka masa yang sebenar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 11:58 AM
Skip this ad x