LOKASI dipercayai tempat mangsa dibaham buaya. FOTO ihsan Bomba
Poliana Ronnie Sidom
poliana@bh.com.my


MAYAT lelaki tanpa tangan kiri dan kesan gigitan buaya di dada ditemui di anak sungai Jalan Beriawa, Batu 8, dekat Sandakan, hari ini.

Mayat dipercayai Saini Mahmi, 39, yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ditemui terapung oleh penduduk kampung, 6.20 pagi tadi, kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dipercayai dibaham buaya.

Difahamkan, mangsa hilang sejak Khamis lalu ketika memindahkan barang dari bot ke rumahnya yang terletak berhampiran anak sungai, kira-kira 6.30 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata, kejadian itu cuma dilaporkan kepada pasukan bomba, 9.10 malam tadi, sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan membabitkan lima anggota bomba.

Katanya, operasi SAR kemudian ditangguhkan pada 10.23 malam tadi disebabkan cuaca gelap.

“Pagi tadi kita terima panggilan daripada orang awam mengatakan mangsa sudah ditemui.

“Mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di Sandakan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 11:01 AM