Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


“TERIMA kasih untuk rakyat Malaysia dan doakan agar Ainul Mardhiah supaya kembali normal seperti bayi lain,” kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, ketika ditemui di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, malam ini.

Ahmad Safiuddin bersama isteri, Nurul Erwani Zaidi, 24, dan Ainul Mardhiah, sembilan bulan berlepas ke London jam 11.30 malam ini menerusi penerbangan MH002 Malaysia Airlines.

Lebih 50 orang termasuk ahli keluarga terdekat dan rakan turut berada di KLIA bagi mengucapkan selamat jalan kepada tiga beranak berkenaan.

Ahmad Safiuddin berkata, dia berharap rakyat Malaysia mendoakan supaya Ainul Mardhiah dapat kembali semula ke tanah air dalam keadaan normal dan sihat.

“Harapan dan doa saya agar semua urusan dipermudahkan,” katanya.

Ketika ditemui wartawan, Ainul Mardhiah dipercayai sedang nyenyak tidur dalam kereta sorong bayi yang ditolak bapanya.

Kisah Ainul Mardhiah mendapat liputan luas media kerana menderita kanser mulut ‘Germ Cell’ sebelum ibu bapanya merancang membawanya ke London bagi mendapatkan rawatan.

Difahamkan, dua doktor pengiring yang juga doktor pakar bius dari hospital swasta turut bersama-sama mengiringi perjalanan Ainul Mardhiah ke London.

Media sebelum ini melaporkan pakar bedah warga Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom, Dr Nur Amalina Che Bakri, bersama sekumpulan pakar di negara itu, bersedia membuat pembedahan terhadap Ainul Mardhiah dengan kos rawatan dianggarkan lebih RM1 juta.

Menerusi laporan media sebelum ini juga, Ahmad Safiuddin memaklumkan, semua kos pengangkutan dia, isteri dan anaknya ke London adalah hasil sumbangan orang ramai

Menurutnya, dia juga akui harapan yang ada agak tipis malah, menjalani pembedahan juga berisiko.

“Nasib Ainul Mardhiah belum dapat dipastikan sama ada akan dapat menjalani pembedahan atau sebaliknya, kerana doktor minta dia menjalani pengimejan resonans magnet (MRI) di sana kerana ujian yang dilakukan di sini tidak jelas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 10:58 PM
24 MEI 2019. SEPANG. Ahmad Safiuddin dan isteri, Nurul Erwani bersama anak mereka Ainul Mardhiah, 9 bulan, serta sebahagian ahli keluarga di Balai Pelepasan KLIA untuk berangkat ke London bagi menjalani pembedahan anak mereka yang menghidap kanser mulut, ‘Germ Cell Tumor’. VIDEO LUQMAN HAKIM ZUBIR