PENGUAT kuasa MBI menembak anjing liar yang diviralkan di media sosial. FOTO viral
Shaarani Ismail
shaarani@nstp.com.my


MAJLIS Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa konsisten menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik anjing serta pemusnahan anjing liar mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ia berikutan video tular yang berlegar di media sosial berkenaan tindakan penguat kuasa MBI menembak haiwan itu ketika menjalankan operasi pemusnahan anjing liar di Pengkalan Gate, Ipoh yang didakwa keterlaluan hingga menimbulkan kemarahan warganet.

Menurut kenyataan dikeluarkan MBI, pada 10 pagi, 22 Mei lalu, satu Unit Kawalan Anjing Penguatkuasa MBI ditugaskan ke skim perumahan baru di Pengkalan Gate bagi tujuan menyelesaikan aduan berulang berkaitan banyak anjing yang berkeliaran di kawasan berkenaan.

“Mereka dibawa wakil penduduk kawasan itu bagi mengatasi aduan berkaitan anjing liar yang menyerang kambing ternakan dan seorang pegawai kanan tentera,” kata kenyataan dikeluarkan MBI, hari ini.

Menurut kenyataan itu, seekor anjing liar dimusnahkan di kawasan berkenaan bagi menyelesaikan aduan berkenaan dan kaedah pemusnahan yang digunakan penguat kuasa MBI adalah mengikut prosedur yang ditetapkan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (MPI) 1987.

Kata kenyataan itu, justeru warga Ipoh adalah dipohon untuk sama-sama membantu mengatasi masalah anjing liar di kawasan masing-masing dan sebarang aduan, mereka boleh menghubungi talian WhatsApp MBI, 019-5503083.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 10:45 PM