ISMADI (tengah) menunjukkan foto suspek bersama dadah dirampas daripada lelaki itu. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


POLIS menahan lelaki warga Nigeria dan merampas dadah dianggarkan bernilai RM90,000 hasil serbuan di perkarangan sebuah kondominium di Bandar Kinrara dekat Serdang, hari ini.

Dalam serbuan jam 1.30 pagi itu, lelaki berusia 30-an terbabit ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Ketua Polis Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, suspek ditahan sewaktu menaiki Honda City di tepi kawasan kondominium terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan, polis menemui lima bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu kereta terbabit.

“Hasil pemeriksaan bungkusan terbabit mengandungi 791.48 gram (g) syabu dan 1,420 pil ekstasi seberat 769.8 g,” katanya pada sidang media di IPD Serdang, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, polis menahan suspek sebelum semakan mendapati lelaki berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Hasil soal siasat mendapati suspek mengakui memasuki negara ini menggunakan visa pelajar sejak tahun lalu dan dipercayai tinggal di negara ini melebihi tempoh ditetapkan.

“Suspek disyaki aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak lima bulan lalu dan memperolehi bekalan dadah terbabit di sekitar ibu kota untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Ismadi berkata, pihaknya turut merampas Honda dinaiki suspek yang didapati disewa sejak lima bulan lalu.

“Kereta terbabit disewa dengan bayaran RM3,000 sebulan dan disyaki untuk digunakan bagi menghantar bekalan dadah kepada pelanggan.

“Saringan awal didapati suspek negatif dadah dan tidak memiliki sebarang rekod lampau.

“Bagaimanapun, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 30 Mei ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 5:15 PM