BANDUAN terbabit. FOTO Ihsan Pembaca
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


LELAKI warga Indonesia yang sedang menjalani hukuman penjara mengikut Akta Imigresen berjaya meloloskan diri daripada Penjara Tapah, di Tapah, semalam.

Banduan dikenali sebagai Kobus, 36, itu dipercayai melarikan diri menerusi pintu belakang semasa melakukan tugas rutin di kawasan kebun sawit penjara berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan banduan terbabit, pada 2.41 petang semalam.

Menurutnya, banduan terbabit dipercayai melarikan diri tanpa memakai baju dan hanya berseluar kerja penjara warna hijau terang, memakai but getah dan bertopi kelabu.

“Tempat kejadian (meloloskan diri) adalah di bahagian kanan belakang kawasan Penjara Tapah dan banduan dipercayai melarikan diri di kawasan belakang kebun sawit ke kawasan Air Kuning. .

“Usaha mengesan masih dibuat oleh pihak polis dan penjara,” katanya ketika dihubungi di Tapah, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, mengikut rekod banduan terbabit sedang menjalani hukuman mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa tanpa pas atau permit yang sah.

“Banduan berkenaan dijadualkan tamat hukuman pada 8 Julai ini.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melarikan diri daripada tahanan sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 3:39 PM