AHLI keluarga kepada pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang, Muhammad Firdaus Syahrul Azam, 17 mengaminkan bacaan doa selepas selesai solat jenazah di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) susulan mangsa yang maut selepas terbabit dalam kemalangan bas di Jalan Kuala Klawang-Seremban, Bukit Tangga, Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


“ARWAH pelajar yang baik dan sering mendengar kata. Pemergiannya satu kehilangan buat kami semua,” kata Masad Masiran, guru kelas pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang, Allahyarham Muhammad Firdaus Syahrul Azam, 17 yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Klawang-Seremban, Bukit Tangga, dekat Seremban, semalam.

Masad, 29, berkata, dia tidak menduga kejadian itu menimpa pelajarnya ketika semua mereka dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.

Sebelum kejadian itu berlaku, arwah dan rakan baru menamatkan peperiksaan pertengahan tahun dan mengambil keputusan meninggalkan asrama.

“Semua pelajar kami diberi cuti dua minggu sehingga 12 Jun depan. Mereka begitu bersemangat pulang ke rumah untuk meraikan Aidilfitri,” katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di Seremban, hari ini.

Menurutnya, sewaktu meninggalkan asrama, arwah dan pelajar yang lain sempat bersalaman dan bermaafan sesama mereka.

“Dalam pengetahuan saya, semua 21 pelajar kami menaiki bas awam di Kuala Klawang menuju ke Terminal One, Seremban. Kebanyakan mereka menetap di Kuala Lumpur dan Selangor mahu menukar bas lain untuk pulang ke destinasi masing-masing,” katanya.

Katanya, Muhammad Firdaus difahamkan mahu pulang ke rumah bapanya, Syahrul Azam Jaafar di Kampung Harmoni, Bestari Jaya, Selangor.

Menurut Masad, 21 pelajar terbabit menaiki bas itu pada 3.20 petang sebelum dia mengetahui kemalangan pada 4.15 menerusi WhatsApp.

“Menyaksikan foto kemalangan yang tular, saya hanya mampu melaungkan Allahuakbar. Paling menyedihkan apabila pelajar saya tercedera dan meraung kesakitan di atas jalan,” katanya.

Menurut Masad lagi, beberapa guru yang lain bergegas ke lokasi dengan menunggang motosikal manakala dia bergegas ke Hospital Jelebu untuk mendapatkan pelajar yang tercedera.

“Tidak lama kemudian, saya mendapat tahu Muhammad Firdaus meninggal dunia dan ia cukup menyedihkan. Arwah pelajar yang sangat baik dan berpotensi dalam pelajaran,” katanya.

Kata Masad, Muhammad Firdaus menuntut di kolej vokasional terbabit dalam jurusan elektrik sejak tahun lalu.

Mengenai keadaan terkini pelajarnya, kebanyakan mereka yang dirawat di Hospital Jelebu sudah dibenarkan keluar manakala tiga yang parah masih menerima rawatan di HTJ.

Sementara itu usaha untuk menemubual Syahrul Azam tidak berhasil apabila lelaki terbabit dilihat begitu beremosi dan bersedih kehilangan anak tunggalnya.

Berita berkaitan

Tak sempat sambut raya

Tragedi pulang ke kampung

[UPDATE] 12 pelajar MRSM Kuala Klawang cedera kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 1:47 PM