KUALA TERENGGANU 21 MEI 2019. Syafiq Haiqal Shaharrudin, 13, yang putus lima jari tangan kanan akibat bermain mercun dalam kejadian di Kampung Kubang Ikan, Jertih, Besut, petang semalam. NSTP/DARI VIDEO AHMAD RABIUL ZULKIFLI.
Hanneeyzah Bariah Baharin
am@hmetro.com.my


“SYAFIQ menyesal main mercun dan tak dengar cakap ibu. Syafiq harap rakan lain janganlah main mercun jika tak mahu jadi macam Syafiq yang hilang tangan kerana mercun.”

Demikian kata Syafiq Haiqal Shaharrudin, 13, mangsa pertama mercun di Terengganu tahun ini yang putus lima jari tangan kanan akibat bermain mercun di Kampung Kubang Ikan, Jertih, Besut, Isnin lalu.

Syafiq Haiqal yang ditemani ibunya, Zainab Mohd, 40, ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, hari ini kelihatan lemah kerana tidak bertenaga berikutan kurang selera makan.

Remaja itu berkata, dia rindukan suasana berbuka terutama apabila berebut makanan dengan tiga adik beradiknya, Nur Syafiqah, 15, Syazwan Aiman, 11, dan Shahrul, 10, serta dua lagi sepupu.

“Dah jadi macam ini Syafiq tak dapat berpuasa. Biasanya Syafiq puasa penuh. Tetapi tahun ini berkampung di hospital pula dan tidak dapat berpuasa,” katanya yang kurang bercakap.

Sementara itu Zainab berkata, Syafiq Haiqal masih bersedih dan trauma kehilangan tangan kanannya dalam tragedi itu sehingga tidak lalu makan dan hanya makan buah sejak dimasukkan ke HSNZ pada Isnin lalu.

“Apabila disuapkan nasi, dia tidak mahu. Hanya makan buah saja dan minum air‘Vitagen’. Itu saja yang dia mahu. Dia tak selera makan sampai badan pun tak bertenaga.

“Dia juga mengadu rindu nak berbuka dengan adik beradiknya. Lazimnya ayam masak merah menjadi menu kesukaan Syafiq, tetapi sekarang dia tak boleh makan ayam sebab tangannya baru dibedah akibat kecederaan terkena mercun itu,” katanya.

Zainab berkata, dia baru berhenti kerja di sebuah pasar raya sebelum Ramadan lalu dengan harapan mahu berehat seketika sebelum mencari kerja baru selepas penat bekerja selama lapan tahun di pasar raya berkenaan.

“Tak sangka niat nak berehat bertukar dengan menjaga Syafiq di hospital. Kalau saya masih bekerja, tentu sukar untuk jaga Syafiq di hospital.

“Mujur saya ada ibu, Esah Hussin, 60, yang dapat membantu menjaga tiga lagi anak sepanjang saya menjaga Syafiq di hospital,” kata ibu tunggal itu.

Dalam kejadian 5.30 petang, Syafiq putus lima jari tangan kanan akibat bermain mercun bersama adiknya, Shahrul, 10, dan lima sepupu di rumah mereka di Kampung Kubang Ikan.

Ketika kejadian, Zainab sedang memasak untuk berbuka puasa sebelum dimaklumkan sepupu Syafiq dan mangsa dikejarkan ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke HSNZ.

Berita berkaitan

Syafiq Haiqal akan diberi kaunseling

Sebahagian tangan terpaksa dipotong

'Benda dah berlaku, saya reda'

'Alahai anak emak...' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 11:56 PM