Ainul Mardhiah bersama ibu bapanya berlepas ke London malam esok. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin
am@hmetro.com.my


DUA urusan penting diselesaikan bapa Ainul Mardhiah, penghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’ hari ini sebagai persiapan terakhir sebelum bertolak ke London esok.

Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, ketika dihubungi berkata, urusan itu perlu diselesaikan segera berikutan tempoh berlepas ke sana semakin suntuk.

“Dua perkara penting lagi perlu diselesaikan hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan dua urusan berkenaan.

Difahamkan keluarga Ainul Mardhiah sibuk menyelesaikan urusan akhir proses perjalanan ke London malah bapanya itu juga masih menerima sumbangan bekalan air zam-zam untuk kegunaan bayi perempuannya sepanjang menerima rawatan di London nanti.

Air itu disedekahkan ‘Hamba Allah’ selepas Ahmad Safiuddin memuat naik status di Facebooknya bertanya servis penghantaran air zam-zam rumah di kawasan Shah Alam dan Klang, tengah hari semalam.

Media sebelum ini melaporkan pakar bedah warga Malaysia berpangkalan di United Kingdom (UK), Dr Nur Amalina Che Bakri, bersama kumpulan pakar di negara itu bersedia membuat pembedahan terhadap Ainul Mardhiah dengan kos rawatan dianggarkan lebih RM1juta.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 5:47 PM