(Gambar fail) Sultan Ahmad Shah (kanan) menenangkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar selepas upacara pengebumian Almarhum Tunku Abdul Jalil di Makam Diraja Mahmoodiah, Johor Bahru pada 6 Disember 2015. FOTO NSTP
BERNAMA

PERMAISURI Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris hari ini berkongsi kenangan manis mengenai sepupunya, Paduka Ayahanda Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang meninggal dunia semalam pada usia 88 tahun.

Mengenang kembali, Raja Zarith Sofiah berkata, ketika cuma akhbar dan televisyen sumber berita, menjadi suatu kebiasaan terpampang gambar Almarhum Sultan Ahmad Shah berpakaian biasa duduk bersila atas lantai di rumah kampung sambil berborak dengan warga emas yang sakit dan memerlukan bantuan perubatan.

Baginda berkata, Almarhum Sultan Ahmad Shah bukan berada di sana untuk memberi nasihat perubatan tetapi sebaliknya memberi perhatian dan melahirkan simpati seorang Sultan terhadap rakyat baginda.

“Sekiranya berlaku bencana alam di Pahang - selalunya banjir - Almarhum Sultan Ahmad Shah yang pertama berada di tempat kejadian.

“Bagi keluarga saya di Perak, menjadi kebiasaan untuk kami melihat gambar Almarhum dalam surat khabar, sentiasa bersama rakyat baginda dan kami tidak melihat kemunculan baginda secara tidak disangka-sangka di sebuah rumah kampung sesuatu yang luar biasa,” kata baginda dalam hantaran yang dimuat naik di Royal Johor Facebook hari ini.

Raja Zarith Sofiah juga mengimbas kembali majlis perkahwinannya ketika ayahanda dan bonda baginda berbincang siapa yang harus memulakan upacara merenjis.

“Saya cuba bersungguh-sungguh untuk memahami protokol diraja yang kompleks dan sensitif dan siapa yang lebih dari segi kekananan: ayahanda saya sebagai Sultan Perak dan ayah kepada pengantin perempuan atau Almarhum Sultan Ahmad Shah, anak saudaranya yang pada ketika itu Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

“Dan sudah tentu untuk menjadikan keadaan lebih rumit lagi ayahanda suami saya juga seorang Sultan.

“Saya biarkan pegawai protokol istana merundingkannya dengan ayah dan bonda sementara saya tumpukan kepada isu kurang sensitif seperti warna alis mata dan gaya rambut saya,” kata baginda.

Akhirnya dalam keadaan serupa, Almarhum Sultan Ahmad Shah duduk atas lantai bersama penduduk kampung dan membiarkan ayahanda Raja Zarith Sofia - bapa saudaranya (Sultan Idris Shah) - memulakan upacara merenjis.

“Baginda mengetepikan protokol. Baginda membuat keputusan sendiri: baginda Yang di-Pertuan Agong (ketika itu), baginda raja kita dan seharusnya mengatasi semua Sultan, namun baginda memilih untuk menuruti nilai mulia dengan merendah diri.

“Dengan memberi persetujuan agar ayahanda saya memulakan upacara merenjis pada majlis perkahwinan saya membuktikan lelaki seperti apa Almarhum itu. “Protokol boleh dilentur atau tidak diamalkan, yang lebih utama ialah keluarga dan rakyat,” kata baginda lagi.

Raja Zarith Sofiah berkata, ketika anaknya Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim didiagnosis

menghidap kanser hati pada 2014 dan dimasukkan ke Hospital Gleneagles di Singapura, Almarhum Sultan Ahmad Shah yang pertama dan paling kerap menziarahi mereka atas rasa prihatin serta sokongan baginda.

“Suami saya (Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar) yang dalam keadaan gundah-gulana di hati, cuba menceriakan keadaan dengan mengingatkan Almarhum Sultan Ahmad Shah detik-detik melucukan yang mereka kongsi bersama atau seseorang yang mereka kenali ketika Almarhum Sultan Ahmad Shah melawat Johor.

“Kami tidak menyangka seorang Sultan menunjukkan keprihatinan dan kasih terhadap anak kami sedangkan Abdul Jalil adalah sosok yang jarang baginda jumpa atau kenali.

“Kami tidak dapat nafikan Almarhum menjadikan kami semua - dan Jalil - merasa sangat istimewa.

“Apabila Jalil tewas dalam perjuangannya menentang kanser setahun kemudian baginda menghadiri upacara pengebumiannya,” tulis baginda.

Raja Zarith Sofiah berkata, sungguhpun pada hakikatnya keadaan kesihatan Almarhum pada ketika itu membatasi pergerakan baginda dan baginda tidak segagah dulu, kehadiran baginda bersama keluarga sungguh bermakna bagi kerabat diraja Johor.

“Suami saya bersyukur dan terhutang budi terhadap segala kebaikan serta kasih sayang yang ditunjukkan Almarhum.

“Ketika ayahanda (Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail) gering, Almarhum Sultan Ahmad Shah terbang ke Johor untuk berada di hospital.

“Almarhum memberikan suami saya kekuatan dan keyakinan untuk menghadapi saat yang sedih dan sukar dalam hidupnya,” kata baginda.

Raja Zaith Sofia berkata, orang ramai pasti ada kenangan istimewa mengenai titah serta tindakan Almarhum.

“Namun ini semua kenangan kami yang tidak akan kami lupakan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda Sultan Ahmad Shah dan ditempatkan dikalangan orang beriman dan solihin. Al Fatihah,” kata baginda.

  • Lagi berita berkaitan Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 3:38 PM