FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan melakukan cubaan bunuh terhadap seorang lelaki, Mei lalu.

Penganggur, Moi Kai Man, 21, dan tukang cat, M Tamil Arasan, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan cubaan bunuh terhadap Tan Shen Sheong, 29, dan menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di J3-06-2, Lebuhraya Pinggiran Batu Caves, Gombak, pada 9.40 malam, 13 Mei lalu.

Pendakwaan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Selain itu, beliau memohon syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan tempat tinggal dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah atas alasan mereka menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin setiap seorang berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan tempat tinggal dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Sebutan kes ditetapkan pada 24 Jun ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 3:17 PM