LOKE (tiga dari kiri) bersama pegawai agensi berkaitan melakukan tinjauan di Jeti Penumpang Port Dickson. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
am@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Pengangkutan akan meneliti cadangan kerajaan negeri untuk menaik taraf dua jeti di daerah Port Dickson dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, dua jeti yang sedang diteliti adalah Jeti Penumpang Port Dickson dan Jeti Perbadanan Aset Kereta Api (RAC).

Katanya, beliau akan meminta kerajaan negeri menyediakan kertas kerja yang lengkap dan komprehensif bagi melihat bagaimana hala tuju cadangan itu dapat dilaksanakan.

“Baru-baru ini sebuah kapal mewah yang membawa ribuan pelancong dari luar negara berlabuh di Jeti Port Dickson selepas tidak dapat berlabuh di Melaka berikutan sedang dijalankan projek di situ.

“Perkara ini mencuri tumpuan ramai dan kita melihat ini sebagai satu potensi bagi kerajaan negeri membangunkan sektor pelancongan di sini.

“Jika ribuan pelancong turun dan bersiar-siar serta berbelanja di sini, ia akan membantu meningkatkan taraf ekonomi di daerah ini,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Jeti Penumpang Port Dickson, hari ini.

Loke berkata, usaha itu bagaimanapun hanya dapat direalisasikan jika kemudahan dan infrastruktur lebih lengkap di dua jeti itu.

“Dari segi lokasi, Port Dickson mempunyai kelebihan dan potensi besar kerana terletak berhampiran Selat Melaka, Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Oleh itu, jika jeti ini mempunyai kemudahan untuk menampung kapasiti yang lebih besar serta diurus dan dioperasikan dengan lebih komprehensif, saya yakin ianya boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi dalam sektor pelancongan,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau yakin Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menarik minat ramai pelabur ke daerah itu.

Loke berkata, beliau akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk membangunkan produk pelancongan baharu di atas sebuah tanah milik RAC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 2:58 PM