Wan Nor (tengah) menunjukkan barangan rampasan terdiri daripada mercun, beras pulut dan minuman keras. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis membongkar sindiket penyeludupan antarabangsa dan merampas mercun, beras pulut bersama minuman keras bernilai RM692,567 termasuk nilai cukai di Perairan Kuala Perlis berhampiran Pulau Langkawi, Kedah.

Pengarahnya, Wan Nor Wan Mamat berkata, pembongkaran kegiatan sindiket itu dilakukan pihaknya melalui lima siri rampasan JKDM sepanjang Ramadan ini.

Beliau berkata, susulan itu empat suspek warga Thailand berusia 30 hingga 37 tahun ditahan Ahad lalu mengikut Seksyen 135 (1)(aa) Akta Kastam 1967 bagi membantu siasatan.

“Semua suspek ditahan ketika mengemudi sebuah bot melalui perairan Kuala Perlis berdekatan Pulau Langkawi dan membawa muatan beras hampir tiga tan bernilai RM18,676 termasuk cukai.

“Selain itu 778 kilogram mercun dan 4,606 liter minuman keras dirampas di beberapa kawasan tertentu di sekitar Perairan Pulau Langkawi dengan barangan terbabit ditinggalkan di dalam sebuah bot dan rumah rakit.

“Kita percaya kegiatan penyeludupan ini didalangi sindiket berlainan tetapi ada hubung kait antara mereka,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kuala Perlis hari ini.

Wan Nor berkata, pihaknya juga percaya sindiket terbabit menceroboh negara ini melalui perairan antarabangsa memandangkan terdapat sebuah pulau terpencil milik Thailand berhampiran Langkawi yang dijadikan sebagai transit.

“Sindiket ini juga membina sebuah rumah rakit di tengah perairan antarabangsa sebagai stor simpanan barangan penyeludupan mercun sebelum diagihkan kepada pembeli di sekitar Perlis dan Langkawi.

“Selain itu mereka turut menggunakan bot nelayan yang menggunakan pendaftaran Malaysia bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Untuk rekod, sepanjang tahun ini bermula Januari, JKDM Perlis menumpaskan beberapa siri jenayah penyeludupan rokok, minuman keras dan daun ketum bernilai jutaan ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 2:51 PM