MAYAT Shalini dijumpai di Sungai Perak, Teluk Intan, iaitu 78km dari lokasi dia jatuh. FOTO Ihsan JBPM Perak.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


WANITA yang jatuh di Sungai Pinji dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Pegoh, Ipoh, Isnin lalu ditemui lemas, hari ini dengan mayatnya berada pada jarak 78 kilometer dari lokasi hilang.

V Shalini, 24, ditemui kira-kira 6 pagi di Sungai Perak dekat Jeti Kampung Bahagia, Teluk Intan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mayat mangsa ditemui orang awam yang menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan pada 6.05 pagi.

“Setibanya pasukan bomba di jeti berkenaan didapati mayat wanita terapung dan disahkan polis adalah mangsa yang terjatuh di Sungai Pinji selepas kemalangan jalan raya, Isnin lalu.

“Anggota kemudian membawa mangsa naik ke tebing dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi itu diketuai Komander Operasi Azroisan Wahab dan berakhir pada 8.30 pagi.

Dalam kejadian 6 petang Isnin lalu, mangsa berusia 24 tahun yang menunggang motosikal dipercayai terbabit kemalangan sebelum terjatuh ke dalam Sungai Pinji sebelum dihanyutkan arus deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Mohamad Fadzeli Che Husin dilapor berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 12 anggota bomba dan tiga Unit Anjing Pengesan (K9) melakukan pencarian di tebing sungai bermula di lokasi mangsa dipercayai jatuh hingga kawasan pertembungan antara sungai berkenaan dengan Sungai Kinta berjarak 4.4 kilometer.

Bagaimanapun, pencarian itu gagal menemui mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 2:21 PM