SHARIEL menunjukkan rumah sewanya di Kampung Kuantan, Bukit Kuda yang musnah terbakar. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


TIDAK sampai dua minggu lagi sebelum Syawal, namun empat keluarga berdepan dugaan hebat kerana terpaksa tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Kuantan, Bukit Kuda, Klang musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang, empat kediaman itu hampir musnah sepenuhnya namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Peniaga kecil Shariel Osman, 42, berkata, ketika kejadian, beliau sedang mengajar kelas pengajian al-Quran di Kapar sebelum dihubungi isterinya.

“Isteri memberitahu saya yang rumah sudah terbakar. Terus saya tanya keadaan dia dan empat anak yang lain sebelum beredar pulang ke rumah sewa.

“Waktu itu hujan lebat. Apabila tiba, saya lihat rumah sewa sudah hangus.

“Namun saya bersyukur tiada kemalangan jiwa membabitkan ahli keluarga serta jiran yang lain,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran itu turut memusnahkan koleksi kitab berjilid yang dikumpulnya bernilai lebih RM30,000.

“Malah pakaian raya tahun ini untuk saya, isteri dan anak-anak juga semuanya terbakar. Ini adalah dugaan kami sekeluarga serta jiran-jiran yang lain pada Ramadan ini.

“Ketika ini kami ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Kuantan dan saya sedang berusaha mencari rumah sewa yang baharu sebelum Aidilfitri tiba,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Asnah Deraman, 64, berkata, ketika kejadian beliau dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah dari Kelantan bagi mengambil dua cucunya.

“Ketika dalam perjalanan itu, tuan rumah menghubungi saya mengatakan rumah sudah terbakar. Walaupun terkejut, saya reda dengan dugaan ini.

“Cuma ralat sebab saya ambil cucu dan hendak masak lauk kegemaran mereka dan berbuka bersama. Ketika ini saya menumpang rumah rakan yang terletak berdekatan di sini,” katanya.

Saksi kejadian, Juliana Idris, 42, berkata, sebelum kejadian, hujan lebat serta disusuli guruh sehingga dua kali bekalan elektrik terputus.

“Selepas itu, saya ada terbau hangit sebelum keluar dan mendapati api sedang marak di bahagian tepi rumah sewa milik ibu dan ayah.

“Saya terus hubungi bomba dan memanggil ibu serta ayah yang tinggal bersebelahan untuk keluar. Namun api terlalu marak dan turut menghanguskan rumah mereka,” katanya

Sementara itu, Ketua Operasi Agihan Lembaga Zakat Selangor Daerah Klang Mohd Shahril Ritin berkata, pihaknya mengagihkan bantuan kecemasan sebanyak RM500 kepada empat keluarga terbabit.

“Bagi rumah sendiri, mereka layak menerima bantuan sehingga RM5,000 manakala bagi rumah sewa sebanyak RM2,500.

“Wang selebihnya kita akan serah sebelum Aidilfitri ini.

“Selain itu mengikut bancian kami, terdapat beberapa keluarga jatuh dalam golongan miskin. Oleh itu, kita juga akan cuba mencari rumah sewa untuk mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 2:15 PM