GAMBAR hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


TIGA lelaki berusia 20-an diberkas polis di Seremban, Ahad lalu, kerana memeras ugut lelaki warga emas untuk menyebarkan foto dan video seks miliknya.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku 9 Mei lalu sebaik mangsa yang juga pesara kerajaan berusia 76 tahun berada di rumahnya di Rumah Rakyat Pantai, di Seremban, 10 malam.

Katanya, ketiga-tiga suspek mendatangi mangsa memberitahu memiliki foto dan video seks lelaki itu bersama seorang wanita.

“Seorang daripada suspek mendakwa wanita terbabit saudaranya dan mahu menyerahkan bukti kepada isteri serta lapan anak warga emas terbabit,” katanya.

Pada keesokan hari, mangsa bertemu ketiga-tiga lelaki terbabit di restoran di Temiang bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Suspek meminta RM2,000 jika tidak mahu video disebarkan sebelum menyerahkan RM1,000 kepada seorang suspek di premis di Sri Pulai 2, Sikamat pada 11 Mei lalu,” katanya.

Bertambah malang apabila suspek menyimpan kad pengenalan mangsa bagi memastikan warga emas itu menyerahkan baki RM1,000.

“Sejak daripada itu, suspek sering menghubungi mangsa untuk meminta wang. Warga emas terbabit hilang sabar lalu membuat laporan di Balai Polis Sikamat, 4.50 petang pada Sabtu lalu,” katanya.

Kata sumber polis itu, tiga lelaki berkenaan berjaya dicekup polis, 2 petang pada Ahad lalu.

“Siasatan mendapati mangsa mengenali wanita terbabit sejak lima tahun lalu dan menjalinkan hubungan,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Katanya, semua suspek direman direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 1:14 PM