Telur penyu yang dirampas daripada wanita warga Indonesia. FOTO Ihsan Sarawak Forestry Corporation (SFC)
Goh Pei Pei
peipei@nstp.com.my


WANITA warga Indonesia terpaksa beraya di penjara selepas

Mahkamah Sesyen Kuching menjatuhkan hukuman penjara sebulan atas pertuduhan memiliki sejumlah telur penyu.

Asnawati Ahmad, 59, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu ditahan di tempat letak kereta berhampiran Pasar Serikin pada 9.40 pagi, 18 Mei lalu oleh pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC) ketika melakukan rondaan di pasar itu yang terletak berhampiran sempadan Sarawak-Kalimantan Barat, Indonesia.

Hakim Mohd Taufik Moh mengarahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh penahanan tertuduh.

SFC dalam kenyataan berkata, ketika ditahan wanita itu membawa 135 telur penyu spesies Penyu Laut Olive Ridley untuk dijual kepada pengunjung pasar berkenaan.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1) Ordinan Perlindungan Kehidupan Liar, 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 29 (1) (c) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda RM25,000 jika sabit kesalahan.

Penyu Olive Ridley atau Lepidochelys olivacea disenaraikan antara spesies marin yang dilindungi sepenuhnya di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 1:03 PM