GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


TIDAK cukup ditumbuk, lelaki turut dipijak dua beradik termasuk suami kepada bekas kekasihnya hanya kerana mahu meminjam RM20 daripada wanita itu dalam kejadian di Kampung Batu 1, di Chukai, Ahad lalu.

Dalam kejadian 4.30 petang, mangsa berusia 20 tahun yang dibelasah di dalam longkang cedera di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa datang ke rumah bekas kekasihnya yang sudah berkahwin untuk meminjam wang.

Katanya, mangsa sebelum itu ada menghantar mesej kepada wanita terbabit memaklumkan dia mahu meminjam wang.

“Sebaik tiba di pekarangan rumah itu, suami kepada wanita terbabit dan adik lelakinya masing-masing berusia 30-an dan 20-an bertindak menyerang mangsa.

“Dua suspek bertindak menumbuk dan memijak mangsa yang berada di dalam longkang.

“Susulan kejadian itu, kakak mangsa membuat laporan di Balai Polis Chukai untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Said berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Sebelum ini, tular satu rakaman berdurasi satu minit 37 saat di laman sosial menunjukkan seorang lelaki dipukul di dalam longkang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 12:15 PM