ANTARA mercun yag dirampas. FOTO Ihsan PPM
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan lelaki warga Indonesia dan merampas pelbagai jenis bunga api serta mercun dalam serbuan di kedai runcit di Kampung Sharif, di Lahad Datu, semalam.

Serbuan dilakukan oleh anggota dan pegawai PPM Lahad Datu susulan maklumat daripada orang awam pada 9.45 malam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis bunga api dan mercun.

“Antaranya 13 kotak bunga api ‘Glow of Sunset’, sembilan kotak mercun roket ‘Whistling Moon Travellers’, satu kotak mercun roket, 1 kotak bunga api ‘Happy Boom’ dan anggaran rampasan berjumlah RM1,335.

“Tangkapan lelaki warga Indonesia berusia 51 tahun dan barang rampasan di bawa ke Markas PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sehubungan itu, Mohamad Pajeri meminta masyarakat supaya menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa mengenai kegiatan penjualan bunga api dan mercun khususnya di Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 11:56 AM